Monday, November 23, 2009

Kita Berlatih Untuk Menang


Sahabat!


Jangan sekali-kali kita merasa jemu dalam menjalani latihan. Kerana dengan latihan akan memahirkan kita dan melahirkan anggota yang bermutu tinggi. Biarlah kita berpeluh di baham panas terik dan gigit kesejukan di kala hujan. Namun cekalkan hati kita kerana sememangnya kita telah ditakdirkan menjadi manusia sebegini. Bukan calang-calang orang yang boleh menjadi seperti kita, tahan dalam semua keadaan cuaca.


Jangan sekali-kali kita merungut dengan apa yang telah ditakdirkan kepada kita kerana disuatu ketika nanti kita akan puas dengan hasil yang ada. Percayalah wahai rakan seperjuangan bahawa kita adalah manusia yang gagah kerana kita tidak mengenal erti kalah. Kita memang dilahirkan untuk sentiasa menang dan kita juga dilatih supaya menang. Jangan sekali-kali mudah menyerah kalah kerana kita bukan dilatih untuk kalah.


Teruskakn perjuangan dan jangan menoleh ke belakang.


Wednesday, November 18, 2009

Berat Mata Memandang Berat Lagi Bahu Yang Memikul

Rakan seperjuangan, kita dilahirkan sebagai pejuang bagi membela Agama, Bangsa dan Tanahair kita. Sesungguhnya beban yang kita galas selama ini tidaklah seberat mana tapi amanah yang diberikan adalah bebanan sebenar yang terpaksa kita pikul. Janganlah kita hiraukan bebanan berat yang sentiasa didukung dibelakang kita kerana itulah buktinya kita manusia yang gagah. Kita adalah manusia yang terpilih demi mempertahankan maruah dan negara sendiri.
Tentera tidak menjemput kita hadir dalam organisasi mereka tetapi kita yang meminta untuk hadir dalam organisasi mereka. Organisasi ini tidak menjanjikan kemewahan  dan kesenangan tapi membentuk kita menjadi manusia yang cekal dan tabah. Kita yang hadir dalam organisasi mereka; jadi seharusnya kita yang bertanggungjawab terhadap organisasi.

Ingatlah bahawa mereka yang di luar sana memandang kita dengan berat bebanan yang kita pikul tapi hakikat sebenarnya mereka tidak memikul apa yang telah diberikan pada kita. Berat mata mereka memandang, berat lagi bahu kita memikul.

Teruskan perjuangan...


Monday, November 16, 2009

Demi Maruah

Sahabat!
Demi maruah negara tercinta kita abaikan segala kemewahan yang ada. Kita tinggalkan segala kesenangan yang dinikmati oleh orang lain. Tidur kita beralaskan bumi dan berbumbungkan langit. Kita lena di dalam jaga demi sebuah maruah dan taat setia yang kita junjung. Belum pernah lagi kita meminta sesuatu dari orang lain dan belum pernah lagi kita merayu agar diri kita dihargai. Mereka diluar sana tidur lena didakap isteri tetapi kita mendakap 'isteri' yang hanya kaku dalam pelukan kita; mimpi mereka indah sedangkan mimpi kita ngeri dalam waspada kerana itulah perjuangan kita. Perjuangan yang tiada kesudahannya, namun kita bangga kerana kita manusia bermaruah. Hidup kita menjunjung negara kerana itu adalah pengorbanan paling berharga bagi diri kita.  Kalau sekalipun kita mati kerana perjuangan ini, kita puas kerana kita bukanlah warga pengecut.

Sahabat!

Demi maruah jangan kita abaikan apa yang telah diamanahkan; jangan sekali-kali kita menggadai maruah diri dan negara sendiri dan jangan sekali-kali kita mengkhianati bangsa. Dibahu kita terpikul sebuah harapan demi masa depan generasi akan datang dan tanpa kita mungkin mereka gagal menikmati apa yang ada pada ketika ini. Biarlah mereka memalingkan muka dari memandang wajah comot kita; memekupkan hidung apabila mencium bau hamis badan kita kerana akhirnya nanti mereka akan tahu bahawa kita diperlukan sebagai pelindung mereka. 

Ingat lah sahabat bahawa sumpah kita adalah sumpah keramat yang sentiasa tersemat dalam sanubari kita. Jadikan ikrar kita sebagai panduan dalam perjuangan kerana kita adalah manusia bermaruah.

Sunday, November 15, 2009

Ikhlas Dalam Perjuangan

Salam kepada semua rakan seperjuangan!

Perjuangan kita belum lagi berakhir, perjuangan kita masih lagi diperlukan demi menegakkan keutuhan Agama, Bangsa dan Negara tercinta. Biarlah kita bermandi peluh jangan kita bermandi darah. Tetapkan hati kita, tabahkan hati kita demi tanahair berdaulat. Hanya kita yang menjadi harapan mereka di bumi Malaysia ini bukan orang lain dari jiran tertangga yang mengaku sahabat setia. Kita dilatih menjadi orang yang taat, kita dilatih menjadi orang yang patuh pada arahan. Kita bukan penderhaka tapi kita pejuang bangsa. Walaupun kita digelar bangsa yang kerdil tapi jiwa kita besar, semangat kita tinggi, kesetiaan kita sukar diragui. Kita berikrar kepada 5 perkara yang menjadi teras kepada pengorbanan kita.

Sahabat...

Jadikan pejuang-pejuang terdahulu sebagai contoh kepada kita, mereka berjuang bukan kerana wang ringgit dan bukan keselesaan diri sendiri. Tetapi mereka berjuang kerana maruah bangsa, maruah agama dan maruah negara. Meninggalkan anak isteri ke hutan belentara, menyabung nyawa dan sentiasa berserah. Belum pernah lagi kita menderhaka kerana kita ikhlas dalam perjuangan. Biarpun kita tidak mempunyai nama tapi kita mempunyai jiwa yang kental dan tidak mudah mengalah. Teruskan perjuangan hingga ketitisan darah terakhir dan ikhlaskan hati kita dalam setiap apa yang dilakukan.